Assalamualaikum... Kesemua 'post' dan 'content' di dalam blog ini adalah hak milik penulis. Sebarang peniruan/penciplakan
tanpa izin adalah dilarang sama sekali. Harap maklum. Terima kasih .. ;)

Jasa baik anda amat dihargai ^.^

Friday, November 15, 2013

Damia Qaisara: Bab 8

"Damia, mengapa belum tidur lagi? Sudah lewat malam," Encik Sufian menegur anak bongsunya. "Damia belum mengantuk," jawab Damia ringkas sambil menonton televisyen. Kartun Oggy and The Cockroaches begitu mengasyikkan sehingga Damia leka. "Damia, kita perlulah berdisiplin, tidur awal. Bukankah esok sekolah? Tidak elok tidur lewat, faham? Jika tidur lewat untuk kebaikan tidak mengapa, tetapi Damia menonton televisyen, kartun pula itu. Damia sudah besar, pasti sudah faham, bukan?" Encik Sufian menasihati anaknya.

     Damia mencemuh. "Ayah, sebentarlah, ya? Damia mahu menghabiskan kartun ini dahulu." Encik Sufian menggelengkan kepala. "Tidak patut begitu, Damia. Sebagai seorang pelajar, kamu harus ada disiplin. Bukan seperti ini. Tahun depan kamu perlu menghadapi peperiksaan besar, tidakkah begitu?" Damia masih leka. Kata-kata ayahnya umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. 

     "Damia, jika kamu tidak mahu tidur sekarang, kamu akan didenda. Tidak boleh tidur di dalam bilik serta tidak akan mendapat duit poket untuk sekolah," Encik Sufian bertindak tegas. Damia merungut. "Yalah, yalah. Damia hendak tidurlah ini. Selamat malam." Damia berlalu tanpa mengendahkan ayahnya. Encik Sufian menutup suis televisyen dan lampu serta pendingin hawa. Puan Nurin yang sedari tadi hanya menghendap tingkah laku mereka tertawa kecil. Dia memandang jam antik setinggi enam kaki di ruang tamu. Sudah 10:30 malam, namun Azzamshah masih belum pulang. Hatinya dilanda resah. Sejak solat Asar sehingga kini, anak sulungnya itu masih belum pulang.

     "Nurin, mana Azzamshah?" teguran Encik Sufian menyebabkan khayalan Puan Nurin ghaib. Puan Nurin menjungkit bahu. "Dari petang tadi dia kata mahu pulang selepas solat Asar, sehingga sekarang belum pulang."

     "Mungkin dia qiyamullail di masjid," tutur Encik Sufian. "Mungkin juga, tetapi dia tidaklah serajin itu," sahut Puan Nurin. "Sudahlah, saya mahu tidur dahulu, biarkan pintu itu berkunci. Azzamshah membawa kunci tadi," sambung Puan Nurin. Encik Sufian mengangguk tanda akur.

     Baru sahaja Encik Sufian hendak mengunci pintu, kereta Azzamshah menyusur masuk ke perkarangan banglo itu. 'Tidak senonoh betul. Pukul 10:30 malam baru mahu pulang,' detik hati kecil Encik Sufian. "Assalamualaikum," di hadapan Encik Sufian Azzamshah berdiri. Dia tersengih menampakkan giginya yang teratur. "Kamu ke mana, lewat malam baru hendak pulang?" soal Encik Sufian dengan tegas. Azzamshah masih mengekalkan sengihannya walaupun sedang ketakutan. 

     "Saya pergi makan malam di luar dengan rakan-rakan. Bukankah saya telah beritahu ibu?" wajah Azzamshah betukar kehairanan. "Mungkin ibu kamu itu terlupa," sahut Encik Sufian sambil menggelengkan kepalanya. Semakin bertambah usia, semakin bertambah masalah pendengaran dan ingatan!


     "Hm, cepatlah masuk. Ibu kamu sudah risau itu. Walhal dialah yang patut kita risaukan sebenarnya!" Encik Sufian tergelak kecil. "Mengapa?" langkah Azzamshah terbantut. "Ingatan dan pendengaraan sudah teruk!" jawab Encik Sufian. Azzamshah hanya menggeleng sambil tersenyum. 

     Sebaik sahaja Encik Sufian ingin mengunci pintu rumah, Damia berlari ke arah abang dan ayahnya dengan cemas. "Abang...Abang..."

     Azzamshah kehairanan melihat tingkah adiknya itu. "Kamu ini sudah mengapa, ha?" Damia menarik nafas panjang dan menghelanya. "Lekas, ayah! Abang! Ibu pengsan sebab jatuh tangga tadi," tutur Damia. Wajahnya lesi. Mata Azzamshah buntang tanda terperanjat. Mereka terus bergegas ke tangga. 

     "Ibu! Ibu! Ibu masih okey?" Azzamshah menggoncangkan badan ibunya. "Abang ini sudah mengapa? Tentulah ibu tidak okey!" Damia memarahi abangnya. Encik Sufian tidak banyak cakap, terus sahaja memapah isterinya itu. "Azzamshah, ayuh hantar ibu kamu ke klinik."

     "Klinik?" soal Damia pula. Damia dan Azzamshah saling berpandangan. "Lebih baik hantar terus ke hospital," sahut Azzamshah. "Yalah, yalah! Ayuh!" Encik Sufian akhirnya bersetuju dalam keadaan cemas. 

     Azzamshah memandu kereta dengan agak laju menuju ke sebuah hospital yang pernah menjadi sejarah hitam bagi hidup keluarganya.   *****************************************************

     "Ibu! Ibu sudah sedar?" 

     Satu suara yang Puan Nurin amat kenal dan rindu membentuk sebuah bahasa. Gadis itu tersenyum memandang Puan Nurin. Indahnya senyuman itu bak bidadari. 

     "Imtiyaz Suhaila...," Puan Nurin tidak mampu menahan sebak lagi melihat wajah arwah anaknya. Suhaila tersenyum, memeluk ibunya. "Ibu tidak rindukan Ila?" wajah Suhaila menjadi muram. Puan Nurin kehairanan. Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. "Mengapa tanya begitu, sayang? Mestilah rindu."

     "Kalau rindu, mengapa tidak buat bacaan Yaasiin untuk Ila setiap tahun?" Suhaila menahan air mata. "Ibu tidak mahu bergaduh dengan abang kamu lagi. Ibu minta maaf," Puan Nurin berbicara. "Saya hanya bergurau, ibu. Janganlah marah," Suhaila risau. "Tidak mengapalah, tidak mahu anak-beranak bergaduh, bukan?" Suhaila mengangguk. Dia tersenyum. "Sampaikan salam Ila untuk adik, abang dan ayah."

     Puan Nurin terjaga secara drastik dari tidurnya. 'Mimpi....' spontan mulutnya membisikkan perkataan itu. Damia girang melihat ibunya terjaga. Wajah anak bongsunya itu direnung. 'Sama seperti Suhaila,' detik hatinya. "Damia, Azzamshah, abang, arwah kakak kirim salam," lidah Puan Nurin berat menuturkan ayat itu. Damia sedikit terkejut. 'Waalaikummussalam...'

     "Ibu mimpikan kakak, ya? Itu pasti tandanya kakak rindukan ibu," kata Damia tanpa Puan Nurin perlu menerangkan apa yang berlaku. Puan Nurin mengangguk sambil tersenyum kelat. Azzamshah dan Encik Sufian hanya mendiam. Rasa bersalah menyelubungi hati Azzamshah. Dia tidak mahu mengulangi sejarah lagi! Itu janjinya! 

     Dia terasakan jam yang berdetik itu begitu lambat sekali. Lambat baginya untuk cuba melupakan arwah adiknya itu. Namun, segalanya umpama berulang kembali. Azzamshah termenung seketika.

     Seorang doktor yang memasuki bilik yang dikhaskan untuk Puan Nurin mematikan lamunan Azzamshah. "Puan," doktor wanita yang kecil molek itu menegur Puan Nurin. Puan Nurin hanya tersenyum ke arahnya. "Maaf, tulang pada siku puan telah patah, jadi puan terpaksa ditahan di wad selama 3 minggu," terang doktor itu. 

     Encik Sufian hanya mengangguk sambil menggenggam erat tangan isterinya. Azzamshah dan Damia pula hanya mampu pasrah dan bersabar dengan ujian ini. Jam terus berdetik menanti hentinya dunia.

*****************************************************

Tiga minggu kemudian, Puan Nurin dibenarkan pulang. Azzamshah berasa amat lega kerana dia tidak perlu menguruskan rumah besar itu. Damia tidak sepandai ibunya, mengemas, memasak, mencuci dan membersihkan rumah. Sepanjang tempoh itu, Azzamshah tidak dapat  keluar dari rumah kerana sibuk.

     Encik Sufian pula hanya sibuk dengan kerja yang bertimbun-timbun banyaknya. Itulah sebabnya Azzamshah begitu gembira setelah ibunya boleh pulang semula ke rumah. 

     "Ya Allah! Bersepahnya bilik ibu!" buntang mata Puan  Nurin melihat biliknya. Selimut di atas katil digumpal seperti bola, bantal pula ada yang di atas, ada pula di bawah katil. Sebuah sofa kulit yang berada bertentangan dengan meja kopi kecil pula telah berubah kedudukannya.  Senget!

     "Tidak mengapa, ibu. Ini Damia yang 'kemas'. Biar Azzamshah yang kemaskan," di akhir katanya, Azzamshah mengeluh. Letih dengan adiknya!

No comments:

Post a Comment